Milan Skriniar menyifatkan bintang Manchester United, Bruno Fernandes, sebagai salah seorang rakan sepasukannya yang terbaik.

Pertahanan Inter Milan, Skriniar, dan Fernandes beraksi bersama sewaktu menyarung jersi kelab Itali, Sampdoria, sebelum membawa haluan masing-masing.

Inter mendapatkan Skriniar pada 2017 sambil Fernandes berhijrah ke Sporting Lisbon sebelum menyertai United, Januari lalu.

Fernandes menampilkan aksi hebat sejak tiba di Old Trafford dan Skriniar memuji kemampuan tonggak tengah Portugal itu.

"Saya fikir salah seorang rakan sepasukan terbaik adalah Fernandes," katanya.

"Saya sentiasa sukakan caranya ketika kami beraksi bersama di Sampdoria."

Serie A kini ditangguhkan ekoran wabak coronavirus tatkala Itali muncul negara paling teruk menerima kesan selepas China.

Milan dan wilayah Lombardy merupakan kawasan paling terjejas sambil Itali mencatatkan 2,950 kematian daripada 35,700 kes.

Itali kini telah diisytiharkan darurat sekali gus menyebabkan saingan Serie A dan semua jenis sukan dihentikan susulan coronavirus.

"Ia tempoh sukar tetapi kami boleh hadapinya sebagai satu pasukan. Kami rindukan bola sepak dan latihan tetapi apa yang penting adalah mengatasi wabak ini," tambahnya.

"Saya masih berlatih di rumah mengikut arahan staf bagi memastikan prestasi dikekalkan. Selain itu, saya meluangkan masa bersama teman wanita dan dua ekor anjing kami. Saya juga bermain dart dan menonton televisyen.