Al Ahly ungguli Liga Juara-Juara Afrika atasi seteru setempat 

By Shaiful Shamsudin 28 November 2020 222
 Al Ahly ungguli Liga Juara-Juara Afrika atasi seteru setempat 
AL AHLY 2 ZAMALEK 1 

Gol lewat Magdi Kafsha menjulang Al Ahly untuk menumpaskan seteru utama, Zamalek, 2-1 bagi merangkul gelaran Liga Juara-Juara Afrika (CAF) buat kali kesembilan.


Perlawanan yang digelar 'Final of the Century' di antara pasukan gergasi Kaherah itu berlanjutan ke masa tambahan berikutan jaringan penyamaan Shikabala untuk Zamalek membatalkan gol pembukaan Amr Al Sulaya.

Tetapi voli luar biasa Kafsha pada minit ke-86 memuktamadkan kejayaan kelabnya untuk Al Ahly mengungguli CAF ke atas seteru itu buat julung kalinya dalam aksi penuh kontroversi di ibu kota Mesir.

Bagaimanapun, Al Sulaya terlebih menghangatkan permainan ketika menyambar sepakan sudut Kafsha untuk meletakkan Al Ahly di depan seawal minit kelima.


 

Namun, usaha luar biasa oleh kapten veteran, Shikabala, yang menggelecek beberapa pemain di sayap kanan sebelum menyusup ke sudut kiri lalu melepaskan rembatan untuk mengimbangi perlawanan 1-1 selepas setengah jam beraksi.

Tidak lama selepas percubaan jarak jauh Zizo yang singgah di tiang kiri, Zamalek sekali lagi hampir mendapatkan gol kedua tetapi malangnya Hussein El Shahat gagal menyempurnakan umpanan Ali Maaloul biarpun pintu gol sudah ternganga buatnya pada minit ke-56.

Kegagalan Zamalek untuk mengambil kesempatan itu akhirnya dihukum selepas Kafsha memenangi bola di udara sebelum melepaskan rembatan voli dari jarak 20 ela yang terus menerjah sebelah kanan pintu gol lawan.



 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment