Kejohanan Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) Liga Malaysia bakal membuka tirai sambil dua pemain terbaik berpeluang untuk menyertai edisi Bola Sepak Global di Munich, Jerman, Ogos depan.

Liga yang akan bermula 29 Februari depan itu melibatkan perlawanan di wilayah tengah, selatan, utara dan Pantai Timur pada 7 Mac sementara Sabah dan Sarawak akan berlangsung pada 14 Mac.

Setiap pasukan akan beraksi dalam format liga sepusingan dalam perlawanan selama 70 minit untuk melayakkan diri ke pusingan penentuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Zakri Mohammad Khir, kejohanan yang sudah memasuki edisi kesembilan itu mampu membuka ruang buat pemain muda untuk mengasah bakat mereka.

"Kami berhasrat untuk memberikan minit permainan yang lebih buat pemain-pemain muda ini.

"Bagi pemain yang telah terpilih, mereka akan beraksi dalam enam perlawanan.

"Dalam bola sepak, ia bukan mengenai latihan, sebaliknya tentang persaingan.

"Saya harap kami dapat tingkatkan aspek itu," katanya di Universiti Malaya (UM), malam tadi.

Ketua panel pemilihan pemain, K. Gunalan, bakal menggalas peranan penting dalam edisi 2020 ini sambil menyatakan kesukaran untuk memilih pemain edisi 2019 yang rata-rata mempamerkan aksi memberansangkan.

"Ia satu langkah yang baik kepada pemain bawah umur 14 dan 16 tahun.

"Ia satu peluang yang menarik buat mereka dan saya harap dapat menggilap prestasi terbaik pemain-pemain tahun ini," katanya.

Seramai 14 pemain terbaik akan mengikuti Kem Explorer Allianz di Manila, Filipina, dalam usaha merebut dua slot ke Munich kelak.



Editor: Shaiful Shamsudin