Aidil anggap KFA akur persetujuan kontrak awal musim

By Ammar Hakim 9 August 2020 112
Aidil anggap KFA akur persetujuan kontrak awal musim
Tiada perkembangan terkini pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), ketua jurulatih skuad Lang Merah, Aidil Shahrin Ishak, menganggap pihak persatuan akur dengan persetujuan kontrak awal musim walaupun terdapat ura-ura pemotongan gaji akan dibuat.

"Saya masih lagi menunggu pihak pengurusan untuk membuat pertemuan bagi membincangkan hal ini, namun mereka tidak memberikan tarikh untuk menyelesaikan isu ini," kata Aidil.

Selebihnya, tarikh 15 Ogos adalah tarikh yang di tunggu-tunggu, kerana ia melibatkan pembayaran gaji bulan Mac seperti yang telah dijanjikan tempoh hari.

Aidil mengambil maklum keputusan tiada tindakan menarik balik aduan daripada pemain berhubung isu gaji tertunggak sejak lima bulan lalu.

Namun dia lega kerana pemainnya mampu bersikap profesional dan masih berpegang kepada keperluan mereka untuk hadir ke latihan seperti biasa.

"Secara keseluruhan, pemain-pemain masih lagi bersifat profesional dalam padang dan memberikan yang terbaik dalam sesi latihan," katanya lagi.

Pengendali kelahiran Singapura itu turut berpuas hati dengan prestasi pemain dalam aksi kompetetif pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun ia berkesudahan dengan Perak 2 Kedah 1 semalam.

About Author

Ammar Hakim

Comment