AC Milan mahu menandatangani Pierre-Emerick Aubameyang, Andrea Belotti atau Alvaro Morata sebelum tamat jendela perpindahan, dedah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marco Fassone.

Skuad Serie A itu sibuk dalam pasaran pemain dengan tonggak tengah Lazio, Lucas Biglia, menjadi pemain baru ke-10 mereka selepas kedatangan mengejut Leonardo Bonucci dari Juventus yang pada awalnya difikirkan Fassone adalah "idea gila".

Andre Silva dibawa masuk dari Porto untuk bahagian serangan tetapi Milan sedia untuk mendapatkan seorang lagi penyerang tengah, dengan tiga dalam kalangan pemain terbaik dijangka menjadi sasaran.

"Banyak nama disebutkan sebagai penyerang yang sangat kuat," kata Fassone kepada Milan TV.

"Kami ingin mempunyai salah seorang daripada Belotti, Morata atau Aubameyang. Kita akan lihat siapa pilihan kami walaupun ada juga nama lain yang belum disebarkan di halaman depan media.

"Jelas kami masih fikir untuk melakukan sesuatu yang lain. Kami kekal terbuka untuk pilihan itu dan kami pasti akan melakukan sesuatu yang indah.

"Untungnya, kami berada di China sekarang, jadi kami boleh mengadakan perbincangan dengan pemilik untuk memahami mengenai sumber kami kerana mereka tidak terbatas.

"Kami juga harus berbincang dengan jurulatih kerana dua perlawanan persahabatan akan datang dapat memberi petunjuk teknikal kepadanya dan (pengarah sukan) Massimiliano Mirabelli."

Penyerang Real Madrid, Morata, menjadi sasaran Manchester United tetapi perbincangannya rosak, menyebabkan kelab Old Trafford itu menandatangani Romelu Lukaku.

Penyerang prolifik, Aubameyang, kerap dikaitkan dengan perpindahan ke China sambil Chelsea juga dikatakan mahu menandatanganinya, dan Ketua Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke, memperingatkan mana-mana kelab yang berminat agar bertindak pantas.

Sementara itu, penyerang Torino, Belotti, menarik perhatian pada musim lalu selepas mencetak 26 gol dalam Serie A.

Fassone percaya kedatangan Bonucci dari juara Itali itu dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai €42 juta (RM207 juta) adalah satu masej jelas kepada bakat-bakat besar di Eropah bahawa Milan kini menjadi pilihan yang realistik untuk bintang-bintang seperti Morata, Aubameyang dan Belotti.

"Saya sangat ragu-ragu, 'bayangkan jika Juventus berikan kami Bonucci'. Ia adalah idea yang gila dan kami tidak mahu mencuba tetapi Vincenzo Montella beritahu kami agar terus berusaha.

"Ini adalah satu petanda penting untuk melihat kini pemain dalam kelab Liga Juara-Juara mahu menyertai kami.

"Membeli Bonucci adalah isyarat untuk masa depan. Leo adalah seorang pejuang dan seorang pemimpin yang akan memberi kami banyak kebaikan di dalam dan di luar padang."