Bintang Golden State Warriors, Stephen Curry, bergurau dengan berkata bahawa dia boleh menjaringkan 60 mata ke atas semua orang dalam NBA.

Dalam satu perbualan video Instagram bersama bekas rakan sepasukannya, JaVale McGee, Carry dengan yakinnya berkata demikian.

McGee, yang kini bersama Los Angeles Lakers, bertanya kepada pemenang dua kali Anugerah MVP NBA itu: "Pasukan atau pemain mana yang anda tahu apabila mereka mengawal anda dan anda akan berkata, 'Baiklah, saya akan menjaringkan 60 mata malam ini'?"

Curry terdiam seketika sebelum berkata: "Semua orang."

Ia mengakibatkan McGee ketawa besar sebelum pemain tengah itu menambah: "Apa yang sedang berlaku? Steph Curry boleh menewaskan semua pemain dalam NBA."

Curry tidak pernah merekodkan 60 mata sepanjang kariernya dengan rekod terbaiknya hanyalah 54 mata yang dicatatkannya ketika menewaskan New York Knicks pada February 2013.

Saingan NBA musim ini ditunda sejak bulan lalu berikutan pandemik Covid-19.