Pemain tengah Utah Jazz, Rudy Gobert, hilang deria bau dan rasa selepas disahkan pulih daripada jangkitan Covid-19.

Gobert memberikan perkembangan terbarunya itu dalam laman Twitter dan bertanya kepada pegikutnya sama ada di antara mereka pernah mengalami simptom yang sama.

Minggu lalu, pemain dari Perancis itu -- pemain NBA pertama disahkan positif Covid-19 -- berkata bahawa dia semakin pulih dari hari ke hari ketika berperang dengan penyakit itu.

Tetapi beberapa hari ini, dia perlu menangani beberapa simptom berbeza.

"Hanya untuk memberikan anda semua perkembangan terbaru, kehilangan deria bau dan rasa merupakan salah satu simptom.

"Saya masih tidak dapat menghidu apa-apa sepanjang empat hari ini.

"Ada sesiapa mengalami perkara sama?" soalnya.

Gobert disahkan positif pada 12 Mac lalu susulan penundaan perlawanan di antara Utah dan Oklahoma City Thunder.

NBA kemudian menangguhkan kesemua perlawanan mereka dengan seorang lagi rakan sepasukan Gobert, Donovan Mitchell, turut disahkan positif.

Berkenaan pandemik berkenaan, Gobert mengakui dia sepatutnya lebih berhati-hati sebelum dijangkiti.

Pemain berusia 27 tahun itu mempersenda-sendakan langkah pencegahan, termasuk menyentuh mikrofon wartawan.

Gobert meminta orang ramai untuk belajar daripada kesilapannya itu dengan mengambil serius wabak berkenaan.

Dia turut mendermakan wang sebanyak AS$500,000 (RM2.2 juta) kepada pekerja sambilan Utah Jazz dan perkhidmatan yang berkaitan Covid-19.

10 pemain NBA disahkan dijangkiti wabak berkenaan termasuk Kevin Durant daripada Brooklyn Nets.