TJ Warren membayangi kepulangan LeBron James yang menyaksikan Los Angeles Lakers menempa kekalahan ketiga berturut-turut dalam Persidangan Barat NBA sementara Luka Doncic terus menyerlah, sebentar tadi.

Kembali selepas dilanda kecederaan pangkal paha, James memungut 31 mata, lapan rebound dan tujuh bantuan jaringan dalam tempoh 35 minit tetapi usahanya itu masih gagal menyekat Indiana Pacers untuk mara hasil kemenangan 116-111.

Warren, yang mencuri perhatian sejak menyertai NBA, meneruskan rentak jaringan luar biasanya dengan koleksi 39 mata dalam 15 daripada 22 percubaan.

Pada minit-minit terakhir, dia menambah mata menerusi beberapa gerakan menarik dengan mengatasi Anthony Davis bagi menghadiahkan kemenangan keempat buat Pacers daripada lima perlawanan di Walt Disney World Resort.



Pemain All-Star, Doncic, dan Pemain Paling Bernilai, Giannis Antetokounmpo, turut tidak mengecewakan apabila berkongsi 70 mata ketika Dallas Mavericks menumpaskan Milwaukee Bucks 136-132 dalam tambahan masa.

Doncic memainkan watak utama buat Dallas dengan menghadiahkan 36 mata, 19 bantuan jaringan dan 14 rebound.