Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, memberi jaminan bahawa seluruh rakyat Malaysia tidak perlu risau mengenai tumpuan ke atas dirinya yang kini bagaikan selebriti selepas menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England bulan lalu.

Dalam waktu yang sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sudah ada perancangan untuk Zii Jia terus menyinar biarpun selepas saingan Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Zii Jia bertemu Reezal Merican dalam satu majlis rasmi bagi meraikan kejayaannya di Putrajaya hari ini.

Di sebalik tumpuan luar biasa yang diterimanya ketika ini, Zii Jia menegaskan bahawa komitmen utamanya pada waktu ini masih untuk membuat yang terbaik di gelanggang badminton.

"Setakat ini, kakak saya yang menguruskan perkara-perkara seperti ini dan dia memberitahu saya agar fokus kepada sesi latihan sahaja," katanya kepada Nadi Arena.

"Jadi, sebarang jemputan majlis yang melibatkan saya, ia hanya akan dipenuhi ketika saya mempunyai waktu terluang.

"Setakat ini, ia memang tidak menggangu sebarang waktu latihan dan saya juga tidak mahu ia berlaku.

"Setiap pemain pasti mahu memenangi pingat emas (Sukan Olimpik) tetapi banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, terutama tekanan.

"Bagi saya, untuk edisi di Tokyo kali ini, dalam fikiran saya adalah saya pergi ke sana untuk mendapatkan pengalaman.

"Tetapi sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik untuk Sukan Olimpik kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican peka dengan situasi semasa membabitkan status Zii Jia selaku prospek pingat emas di Tokyo.

Tetapi baginya, setiap pihak perlu berpada-pada dalam memberikan tumpuan buat bintang muda negara itu memandangkan Zii Jia pernah dikritik hebat hanya beberapa minggu sebelum dia bergelar juara di Birmingham.

"Saya tidak kata soal pencapaian Zii Jia ini untuk mendapatkan emas semata-mata. BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah ada perancangan yang jauh melangkaui itu," kata Reezal Merican.

"Tentang (Sukan Olimpik) Paris 2024, tentang Los Angeles 2028, mungkin dua putaran lagi.

"Tetapi pencapaian yang kita dapat lihat sekarang ini perlu diraikan tetapi janganlah kita meraikannya secara berlebihan sehingga tersasar daripada fokus utama.

"Tetapi dalam bidang sukan ini, apa-apa sahaja berkemungkinan. Kita tidak dapat lari daripada apa yang diharapkan oleh rakyat.

"Buat tahun ini, ayuhlah kita berpada-pada dalam keraian dan jangkaan kita," katanya.