Sudah tiba masanya perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, mencorak pengembaraan tersendiri dan bukan sekadar berada dalam bayangan sang legenda, Datuk Lee Chong Wei.

Pemain di kedudukan ke-10 dunia mempunyai sisi keperibadian yang berbeza apabila di temu ramah oleh wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Saya gembira apabila orang kenal saya sebagai Lee Zii Jia dan bukannya sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei. Saya akan cipta legasi saya sendiri.

"Saya perlu berterima kasih kepada jurulatih saya, Indra Wijaya, yang sentiasa menasihati saya untuk menjadi diri sendiri walaupun berada di puncak kejayaan.

"Ini kali pertama saya ke Sukan Olimpik, saya tidak memikirkan warna pingat dan lebih baik saya hanya mengambil pengalaman dan mungkin ada kejutan.

"Lebih baik saya jadi diri sendiri daripada mendengar kritikan kerana hanya saya yang berada dalam gelanggang untuk menentukan menang atau kalah," katanya.





Kebangkitan Zii Jia sebagai bintang dalam pembikinan bermula Terbuka Taiwan 2018.

Pada 7 Oktober 2018, pemain kelahiran Kedah itu mendakap kejuaraan senior pertama hasil kemenangan ke atas Riichi Takeshita.

Bagaimanapun, dalam merintis laluan ke persada dunia, dia tidak terlepas menjadi mangsa kritikan lalu tersalah langkah.

"Sebelum ini saya ada balas kritikan di media sosial sebelum dinasihati ibu yang menegah saya daripada bertindak sedemikian," tambahnya.

Segala yang terjadi dikutipnya disifatkan sebagai pengalaman berharga sambil pemain berusia 22 tahun itu mengakui memerlukan ketekalan dalam soal prestasi sekiranya ingin mencabar Kejohanan Dunia.

"Pada satu hari kelak, saya berharap dapat berdepan soalan mengenai peluang saya dalam sesuatu kejohanan itu dengan yakin.

"Sikap degil telah membawa saya ke tahap seperti hari ini dan saya berharap ia kekal begitu."