Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengesahkan tiada kelibat perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, dalam Terbuka India 2021 meskipun kejohanan yang berlangsung pada 11 Mei itu menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Situasi itu jelas menyaksikan BAM yakin kedudukan juara Seluruh England 2021 tersebut terjamin untuk slot ke temasya di Tokyo, Julai depan.

"Niat untuk menghantar Zii Jia (menghadapi kejohanan) tidak tinggi.

"Untuk mengejar mata bagi melonjakkan rankingnya dalam tempoh singkat ini tidak realistik.

"Kami cenderung untuk memperbaiki latihannya agar dia lebih bersedia dan mampu mengekalkan prestasi dalam kejohanan.

"Kami tidak khuatir dengan kedudukannya ke Sukan Olimpik," kata Choong Han kepada wakil Astro Arena, Syakirah Zulkifly, di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.


Happy birthday, Zii Jia! Have a great day!?? #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers #HBD

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Monday, March 29, 2021



Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria, menyeru agar pemain tidak diberikan tekanan hebat sekalipun kem badminton berpotensi membutirkan pingat emas pertama Sukan Olimpik kepada Malaysia.

"Buat mana-mana pemain yang layak ke Sukan Olimpik, kami akan berikan sokongan sepenuhnya.

"Sekiranya kami berikan kepercayaan kepada mereka, kejayaan akan menyusul.

"Untuk berikan tekanan seperti ini adalah masih awal," katanya dalam satu majlis ringkas memperkenalkan 'Dinding Kejuaraan' dan penyerahan insentif kepada pemain atas kejayaan mereka dalam Terbuka Switzerland dan Seluruh England.

Dalam masa sama, belum ada kepastian mengenai pengolaan Terbuka Malaysia 2021 yang bertaraf super 750 di Axiata Arena, Kuala Lumpur, dari 25 - 30 Mei 2021 berikutan kekangan COVID-19.

"Yang pertama, ia melibatkan perbincangan dengan banyak agensi.

"Kedua, kami perlu lihat kepada kos penganjurannya dengan SOP (prosedur operasi standard) COVID-19, kosnya mungkin meningkat dua kali ganda," tambah Norza.