Perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia, mahu melupakan mimpi ngerinya di Thailand, yang turut menyaksikan dirinya kini terkeluar daripada kelompok ranking 10 terbaik dunia, sambil mahu menjadikan kegagalan dalam tiga kejohanan di venue sama itu sebagai pengajaran berguna.

Sebelum ini, Zii Jia berada di ranking ke-10 dunia tetapi prestasi hambar yang dipamerkannya dalam dua Kejohanan Terbuka Thailand selain Kejohanan Akhir Jelajah Dunia BWF sepanjang bulan lalu menyaksikan kedudukannya kini tergelincir satu anak tangga.

"Memang saya beraksi buruk dalam kejohanan itu dan saya sedar akan menerima banyak kritikan," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya memahami bahawa penyokong sudah lama menantikan untuk melihat saya beraksi.

"Saya percaya ia merupakan satu proses yang perlu saya lalui, jadi harap-harap dalam kejohanan akan datang, saya akan kembali dengan mental dan semangat yang lebih kuat."

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu belum berputus asa dan bersemangat untuk kembali bangkit dalam tiga kejohanan penting di Eropah, iaitu Terbuka Switzerland, Terbuka Jerman dan Kejohanan Seluruh England, yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

"Untuk kelayakan ke Sukan Olimpik saya tidak risau sangat kerana sasaran saya adalah untuk mendapatkan kedudukan pilihan. Ketika ini perebutan mata kelayakan ke Sukan Olimpik juga masih belum dibuka, jadi saya masih ada masa untuk mempersiapkan diri.

"Saya harap dapat bangkit dalam kejohanan berikutnya," tambahnya.