Bekas jurulatih beregu wanita, Rosman Razak, berpandangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang untuk menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang kedua sekiranya dapat meningkatkan permainan mereka.

Beregu lelaki kebangsaan negara itu menebus kehampaan gagal melepasi pusingan pertama dalam kejohanan pertama minggu lalu, dan petang tadi mengesahkan tiket ke final selepas menundukkan gandingan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, dengan straight set untuk penentuan gelaran -- menjadi wakil tunggal negara -- dengan Wang Chi-Lin-Lee Yang, esok.

Pencabar dari Taiwan itu meneruskan rentak cemerlang mereka selepas menawan kejohanan pertama dengan membenam beregu profesional negara, Goh V Shem -Tan Wee Kiong.

"Ini satu pertemuan menarik di antara beregu muda. Pihak lawan telah bermain dengan baik termasuk dalam kejohanan sebelum ini, mnereka juga telah memberikan persembahan yang baik setakat ini.

"Tetapi ini bukanlah bermakna Aaron-Wooi Yik tidak mempunyai peluang sekiranya mereka dapat kawal di depan jaring terutama lawan mereka yang mempunyai ketangkasan dalam serangan.

"Kalau mereka dapat kawal permainan di jaring dan menyerang, peluang mereka adalah 50-50.

"Saya juga harap kesilapan mudah mereka dapat dikurangkan. Ini bukan satu perlawanan yang mudah," katanya.





Sementara itu, Wooi Yik mengakui mereka mengekalkan dapat mengekalkan rentak permainan agresif.

"Kami menampilkan corak permainan yang sama iaitu menyerang dan pukulan deras.

"Kami beraksi dengan baik dan dalam set pertama, kami bermula baik.

""Lagipun mereka terlalu gopoh untuk menang lalu melakukan banyak kesilapan," katanya sejurus perlawanan.

Gandingannya, Aaron, pula berpendapat strategi mereka menjadi dengan mendedahkan: "Kami cuba mencipta peluang dan memanfaatkannya. Satwiksairaj gemar menyerang jadi kami perlu pastikan tiga pukulan balas kami tidak tinggi."