Lee Zii Jia, Pearly Tan dan M. Thinaah perlu menunggu lebih lama untuk membina momentum kemenangan mereka selepas Kejohanan Badminton Terbuka India, yang pada awalnya ditetapkan pada 11-16 Mei depan ditangguhkan oleh Persatuan Badminton India (BAI) .

Persatuan itu mengesahkan keputusan berkenaan dibuat selepas beberapa kali berbincang dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan pihak berkuasa tempatan.



Langkah itu terpaksa diambil berikutan peningkatan kes COVID-19 di negara itu dengan 273,802 kes positif dicatatkan kelmarin untuk kes keseluruhan melebihi 15 juta orang.

"Berdasarkan senario ketika ini, BAI tidak mempunyai pilihan selain mengumumkan penangguhan penganjuran buat sementara waktu.

"Kami mempunyai penyertaan seramai 228 pemain dan hampir 300 orang akan berkumpul. Setakat ini keadaannya sedemikian rupa adalah satu urusan yang berisiko,” kata BAI dalam satu kenyataan.

Penundaan itu juga menjadi kerugian besar buat pemain yang mengejar mata berharga untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan memandangkan ia salah satu daripada tiga kejohanan yang menawarkan mata ranking.

Tanpa Terbuka India, dua lagi baki kejohanan untuk kelayakan ke temasya itu adalah menerusi Terbuka Malaysia (25-30 Mei) diikuti Terbuka Singapura (1-6 Jun).

Terbuka India itu diadakan di gelanggang tertutup menerusi format gelembung sukan di bawah protokol COVID-19 yang ketat.

Ia akan menjadi pertarungan hebat membabitkan himpunan bintang seperti Kento Momota, Viktor Axelsen dan Carolina Marin yang telah mengesahkan penyertaan mereka.

Namun, dengan peningkatan kes, beberapa pemain termasuk Marin dan Anders Antonsen telah menarik diri.