Syawal dalam suasana baru tidak menghalang dua beradik, Amzar Zainuddin dan Ameer Amri Zainuddin, untuk tetap meriah meraikan Aidilfitri, ditambah dengan penubuhan akademi badminton mereka sendiri menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna.

Nama Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Amzar dan Ameer merupakan penyambung legasi keluarga badminton seperti Anak-Anak Sidek dan mereka tetap meriah menghadapi Aidilfitri tahun ini di kediaman keluarga di Bangi, Selangor biarpun negara dalam keadaan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Lebih manis, tanggal 1 Syawal kali ini juga jatuh pada 24 Mei 2020, bersamaan dengan sambutan hari jadi Iskandar yang ke-29.

"Perayaan kali ini memang berbeza. Kebiasaannya, kami akan pulang ke kampung di Muar, Johor. Tahun ini, kami berada di Kuala Lumpur tetapi tidak janggal kerana kami tinggal sebumbung," tambah Ameer.

Biarpun ketiga-tiga mereka sudah tidak bersama skuad kebangsaan dan hanya Iskandar yang masih aktif bergerak sebagai perseorangan profesional, mereka kini boleh mendabik dada apabila perancangan untuk menubuhkan "Iszz Brother Badminton Academy" bagi mencungkil bakat-bakat muda dapat direalisasikan.

"Pada mula memang kami was-was tetapi kini tampak ada peningkatan. Ramai berminat dengan akademi ini. Misi kami adalah mahu lahirkan lebih ramai pemain badminton," ujar Amzar.