Sistem kelayakan Olimpik lebih ampuh diperlukan

By Bernama 28 March 2020 60
Sistem kelayakan Olimpik lebih ampuh diperlukan
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mencadangkan supaya Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan satu penyelesaian lebih baik mengenai sistem kelayakan Olimpik. 

Ekoran Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan sehingga 2021 berikutan pandemik COVID-19, bekas pemain kebangsaan itu mengalu-alukan cadangan daripada BWF baru-baru ini untuk membekukan ranking dunia semasa dalam tempoh singkat, namun badan pentadbir dunia itu perlu berunding dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai sistem kelayakan.

"Saya fikir ia adalah satu penyelesaian yang bagus memandangkan tiada kejohanan diadakan pada masa ini berikutan pendemik COVID-19. Kami tidak pernah mengalami situasi (ranking dunia dibeku) sebelum ini, kami akan tunggu dan lihat apa tindakan BWF selanjutnya dalam isu ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Choong Hann juga berharap agar BWF mempertimbang keputusan mereka untuk melanjutkan tempoh kelayakan Olimpik yang berakhir 30 April ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain untuk layak ke saingan di Tokyo.


Dalam masa sama, dia berkata pemain kebangsaan telah diberi rejim latihan di rumah masing-masing bagi memastikan mereka kekal cergas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Latihan itu menumpukan kepada kardio dan otot menerusi program yang direka oleh jurulatih kecergasan pasukan.

Baru-baru ini, BWF mengumumkan bahawa ia akan mengkaji semula sistem kelayakan Olimpik dan Paralimpik berikutan penangguhan sukan Olimpik - ini termasuk kemungkinan membekukan kedudukan dunia untuk tempoh singkat sehingga kejohanan antarabangsa diadakan semula.

Langkah itu ternyata menjadi rangsangan utama kepada pemain kebangsaan dan profesional yang masih meletakkan sasaran untuk layak ke Olimpik Tokyo.

-- BERNAMA

 

About Author

Bernama

Comment