Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, mahu meraikan penampilan sulung dalam Seluruh England dengan menamatkan badi kekalahan di tangan jaguh Indonesia, Jonatan Christie.

Undian Seluruh England 2020 yang akan membuka tirai 11 Mac ini menyaksikan Jonatan berdepan Zii Jia dalam pusingan pertama.

Rekod pertemuan langsung tidak memihak Zii Jia yang sudah tewas empat kali dalam empat pertembungan antara mereka sebelum ini.

Perspektif semasa menyaksikan Zii Jia yang berada dalam prestasi lebih baik berbanding Jonatan yang mengalami krisis dalam gelanggang.

Dalam Kejohanan Berpasukan Asia sebelum ini, Jonatan gagal menyumbang mata buat Indonesia dalam pentas final menentang Malaysia apabila tumbang di tangan Cheam June Wei.

Sebelum ke Seluruh England, Zii Jia dijadualkan untuk terbang ke Eropah lebih awal untuk menjalani kejohanan pemanas badan dalam Terbuka Jerman.

"Saya akan ke Jerman untuk membiasakan diri dengan cuaca di sana. Ini merupakan penampilan pertama saya dalam Seluruh England, ditambah berdepan Jonatan, ia sesuatu yang sangat teruja bagi saya.

"Pemain-pemain berkualiti tidak akan menghadapi masalah prestasi yang panjang dan jurulatihnya akan melakukan sesuatu. Saya menjangkakan aksi yang menarik," kata Zii Jia ketika ditemubual wartawan Nadi Arena, Ahmed Shahrazad Sani di Akademi Badminton Malaysia (ABM).