Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap gandingan beregu campuran, Shevon Lai-Goh Soon Huat, apabila mereka tewas dalam pusingan pertama kejohanan Seluruh England.

Shevon-Soon Huat gagal melepasi pusingan pertama apabila tewas mudah di tangan gandingan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Ju Yung, 12-21, 13-21.

BAM jelas kecewa dengan gandingan tersebut setelah sekian lama memberi keutamaan kepada mereka daripada segi pendedahan dan menegaskan mereka perlu bangkit dan kembali ke prestasi terbaik secepat mungkin.

"Shevon dan Soon Huat, tentunya kami kecewa dengan prestasi mereka. Kami telah berikan pendedahan terutama di Barcelona baru-baru ini. Namun, mereka tidak dapat mempamerkan aksi meyakinkan. Kami masih berharap mereka bangkit secepat mungkin walaupun saingan kelayakan sudah tidak banyak," ujar Norza.

Setakat ini, hanya pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, dan gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Woo Yik, yang kekal bersaing dalam saingan Seluruh England.

Aksi suku akhir menyaksikan Zi Jia bakal menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, manakala Aaron-Woo Yik berdepan pilihan utama dari Indonesia, Marcus Gideon dan Kevin Sukalmujo.