Juara empat kali Kejohanan Seluruh England, Datuk Lee Chong Wei, tidak berasa terkejut dengan kejayaan Lee Zii Jia mengikut jejaknya mengungguli kejohanan itu.

Jelasnya, penerus legasinya itu mempunyai satu eleman khas apabila dapat mempamerkan prestasi sebenarnya dan Chong Wei sedari awal sudah menyedari perkara itu.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, legenda badminton dunia itu berkata: "Tidak mengejutkan kerana setiap pemain memang ada naik-turunnya.

"Dia pernah berkata kepada saya bahawa dia tidak dapat keyakinan dan kepalanya kosong dan ia merupakan sesuatu yang luar biasa tetapi bagi saya, setiap pemain memang akan memperoleh keyakinan apabila memenangi satu kejohanan besar.

"Apa yang lebih penting, dia sudah mendapatkan keyakinannya selepas menewaskan (pemain nombor satu dunia, Kento) Momota, jadi saya fikir ia merupakan satu permulaan yang baik buat Zii Jia," katanya.

Mengulas mengenai tekanan yang akan dihadapi Zii Jia selepas ini, Chong Wei menambah: "Sekarang memang orang akan lebih fokus kepadanya kerana ia satu pencapaian yang luar biasa dan sudah memenangi Seluruh England.

"Tapi dia perlu berkerja lebih keras lagi dan yakin dengan permainan sendiri.

"Kini dia sudah tahu cara menyerang dan mendapatkan banyak mata, jadi selepas ini dia perlu lebih yakin dengan cara permainannya sendiri.

"Kerana anda dapat lihat dalam Terbuka Thailand, dia tidak tahu sama ada mahu main menyerang atau perlahan, dia tidak yakin dengan diri sendiri.

"Saya sudah katakan kepada dia bahawa kejohanan ini adalah untuk dia bangkit, jadi ia satu permulaan yang baik buatnya sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan yang akan datang," katanya lagi.