Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton (Malaysia), Wong Choong Hann, menjelaskan jurulatih baru, Flandy Limpele dan Chan Chong Ming, sudah ada matlamat yang perlu dicapai dalam tempoh dua tahun lantikan mereka.

Skuad beregu lelaki terutama Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu menjadi pencabar pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021 dan dalam masa yang sama, beregu wanita merapatkan jurang dengan kuasa besar seperti Jepun secepat mungkin.

"Flandy membawa keputusan yang bagus ketika bersama pasukan India. Kami mahu pemain negara ke tahap yang lebih tinggi. Kami berharap mereka mampu menjadi pencabar utama dalam Sukan Olimpik 2021," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, hari ini.




Sementara itu, pengalaman Chong Ming sebagai bekas tonggak yang pernah menggalas misi negara mampu menawarkan pengalamannya.

"Kami menaruh harapan terhadapnya bukan sahaja untuk membimbing Lee Meng Yuen-Chow Mei Kuan dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, malah dia harus membentuk pemain muda."

Bagaimanapun, bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim, menganggap tindakan BAM itu terburu-buru.

"Chan Chong Ming hanya melatih pemain di peringkat kelab sahaja jadi kita belum tahu lagi (sentuhannya) sejauh mana.

"Dia terus dilantik sebagai ketua jurulatih beregu wanita. Sepatutnya dia diambil sebagai (penolong) jurulatih biasa terlebih dahulu untuk mereka menilai kerjanya melatih pemain.

"Apabila dia terus diletakkan sebagai ketua jurulatih, mungkin ia agak menjadi persoalan.

"Mengenai Flandy pula, walaupun tidak ramai peminat yang mengenalinya, dia sebenarnya telah menaikkan pemain beregu muda India," katanya pula.