Pendahulu saingan Divisyen 1, Kelab Badminton Kuantan Synergy (KSBC), terus membuktikan kejaguhan apabila mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan apabila saingan Purple League Junior (PLJ) 2019 bersambung di The Challenger Sports Centre, Ampang hujung minggu lalu.

Mengekori di belakang adalah Bandar Maharani BC (BMBC) yang mengutip (1051- 905) mata set selepas memenangi kesemua tiga perlawanan pusingan ini manakala BMBC mengumpul (905-754) mata set selepas meraih dua kemenangan.

KSBC yang dinaikkan daripada Divisyen Dua selepas muncul naib juara kategori tersebut musim lalu, turun dengan misi mengekalkan momentum kemenangan di Ipoh, merekodkan dua kemenangan ke atas Bukit Cheras BC (9-6) dan Rawang BC (11-8) Sabtu lalu sebelum menundukkan Kepong BC (11-6) semalam.

Pasukan dari Kuantan itu yang dibimbing oleh Azman Amman, mengekalkan rekod tanpa kalah mereka selepas melalui lima perlawanan, sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk muncul juara musim ini.

Keputusan itu meletakkan Kuantan Synergy BC selesa di puncak liga Divisyen 1 menjelang pusingan akhir yang akan berlangsung dua minggu lagi.

“Sebenarnya saya amat berbangga dengan kebangkitan yang ditunjukkan oleh perseorangan lelaki, Chia Jen Hong, selepas dia tewas dalam perlawanan menentang Bukit Cheras BC semalam. Saya juga memang sangat yakin dengan kekuatan pasangan beregu perempuan kami yang banyak menghadiahkan mata buat pasukan,” kata Azman yang ditemui selepas aksi pasukannya menentang Kepong BC.

“Saya kagum dengan persembahan pasangan beregu lelaki kami yang telah berjuang berhabis-habisan di dalam gelanggang untuk memastikan kami menang dalam kesemua perlawanan di Ampang,” tambahnya.

Di dalam Divisyen Dua, Ayer Itam BC juga unggul dengan rekod tanpa kalah selepas menundukkan Serdang BC dan PGBC dalam perlawanan yang sengit sambil Klang Rising BC mengekori rapat untuk memastikan peluang meraih slot ke Divisyen Satu musim depan cerah selepas menamatkan saingan hujung minggu lalu masing-masing di tempat pertama dan kedua.