Strategi dan taktikal akan memainkan peranan penting bagi menutup kekurangan skuad negara dalam Piala Thomas 2020.

Pemain muda negara, Lee Zii Jia, buat julung kalinya bakal membawa tanggungjawab besar untuk mengetuai pasukan perseorangan lelaki di samping Cheam June Wei dan Leong Jun Hao yang masih cetek pengalaman sementara pemain profesional, Liew Daren, menjadi taruhan daripada sudut itu.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, bagaimanapun mengakui kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, bahawa senarai 20 pemain itu dipilih mempunyai jurang pengalaman berbanding pencabar lain.

Can’t stop, won’t stop ?? #MondayMotivation #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Monday, August 24, 2020


Bagaimanapun, bekas tonggak kebangsaan itu optimis Malaysia mempunyai stratergi untuk merapatkan jurang itu bagi menghadapi saingan Kumpulan A menentang Indonesia, Belanda dan England di Aarhus, Denmark, bulan depan.

"Kami mungkin ada sedikit kekurangan daripada segi keseimbangan pemain dan pengalaman berbanding Indonesia.

"Taruhan terhandal negara di bahagian perseorangan mungkin dikira sedikit kurang (daripada kekuatan lawan).

"Tetapi jika kami bersedia dengan cukup mantap, kami berpeluang untuk mengatasi lawan yang berada di ranking lebih tinggi," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Lantaran itu, dia menghormati keputusan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang membayangkan akan menarik diri ekoran ancaman COVID-19 selain masing-masing menyambut kehadiran anak baru.

Justeru, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diberi mandat untuk mengetuai pasukan beregu lelaki selain wakil profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

"Barisan beregu lelaki yang tersenarai masih mempunyai kekuatan yang setimpal.

"Kami akan teruskan usaha dan tidak terlalu bimbang dengan kehilangan," tambahnya.

Dalam pada itu, Teo Ee Yi yang bakal membuat penampilan pertama sebagai pemain profesional dalam Piala Thomas menganggap ia tidak memberi apa-apa perbezaan, malah semangat empat tahun lalu ketika meraih gangsa masih membara dalam dirinya.

Pemain berusia 27 tahun itu mahu membalas kepercayaan BAM dengan memberi aksi terbaik.

"BAM hantar pasukan terbaik.

"Semangat kami tetap sama," katanya pula.

Dalam perkembangan terkini, Thailand muncul negara terbaru untuk menarik diri daripada Piala Thomas/Piala Uber.

Satu kenyataan dalam laman sesawang rasmi Persatuan Badminton Thailand memetik Khunying presiden, Patama Leeswadtrakul, menyebut isu pandemik itu menjadi kebimbingan disebabkan beberapa pemain utama tidak mahu beraksi selepas Australia, Russia dan Taiwan melakukan hal sama.

Namun, beberapa negara lain dijangka akan mengikut jejak sama.


Senarai penuh:

Piala Thomas

Perseorangan
Lee Zii Jia
Liew Daren
Cheam June Wei
Leong Jun Hao

Beregu
Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Teo Ee Yi-Ong Yew Sin
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani

Piala Uber

Perseorangan
Soniia Cheah
S Kisona
Goh Jin Wei
Eoon Qi

Beregu
Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean
Vivian Hoo-Yap Cheng Wen
Pearly Tan-M Thinaah