Di sebalik kegagalan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengembalikan aksi kompetetif, wujud pergolakan di belakang tabir apabila komuniti di Eropah menuding jari kepada komuniti di Asia di atas kegagalan penganjuran Piala Thomas dan Uber 2020 yang terpaksa dipinda ke tahun depan.

Kedua-dua kejohanan berpasukan itu terpaksa ditunda ke tahun 2021 selepas beberapa pasukan berpengaruh di Asia, termasuk Indonesia, memilih untuk menarik diri berikutan pandemik COVID-19

Ia sekali gus meletakkan status Asia sebagai tuan rumah bagi tiga kejohanan jelajah BWF hujung tahun ini menjadi tanda tanya memandangkan calon tuan rumah, Thailand, turut berdepan pergolakan politik.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Saw Chit Boon, berkata kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani: "Ia kerana ia dilangsungkan di Eropah. Jika Piala Thomas dan Uber dilangsungkan di Asia, adakah perkara sama akan berlaku?

"Jika anda bertanyakan kepada saya, saya fikir ia adalah hak setiap negara bertanding untuk menentukan sama ada mereka mahu datang dan beraksi di sana.

"Ia bukan hanya berdasarkan negara yang bertanding tetapi banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan.

"Kerana setiap negara yang akan datang bertanding mempunyai SOP (prosedur operasi standard) berbeza.

"Saya fikir saingan akan kembali bersambung sebaik segala-galanya kembali selamat.

"Badminton agak berbeza kerana ia dimainkan secara dalaman dan berhawa dingin.

"Ia berbeza dengan sukan seperti bola sepak dan tenis yang dimainkan di luar.

"Saya fikir BWF sudah berusaha dengan amat-amat gigih untuk memastikan segala-galanya selamat sebelum kita boleh kembali bersaing," katanya.