Hampir empat tahun berlalu sejak Sukan Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan pencapaian menakjubkan pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, melangkah ke babak penentuan pingat emas.

Namun, siapa sangka walaupun dianggap sebagai taruhan terbaik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila pernah menghuni tangga ketiga dunia, beregu ketujuh dunia itu membuat kejutan apabila bertindak meninggalkan kem kebangsaan, dua tahun lalu.

"Perubahan besar sepanjang empat tahun ini, Sebelum ini kami bersama BAM tetapi kini bergerak secara profesional.

"Lagi-lagi Peng Soon, dulu mempunyai dua anak sekarang sudah empat orang," seloroh Liu Ying ketika bertandang ke studio Nadi Arena di Petaling Jaya, hari ini.

Peng Soon pantas mencelah: "Sekarang kami lebih matang berbanding dulu, asyik-asyik gaduh."

Mengulas kejadian yang mendorong mereka menarik diri daripada BAM, mereka berkongsikan perasannya di samping situasi selepas meninggalkan venue latihan di Bukit Kiara itu.

"Hala tuju kami dengan ketua jurulatih ketika itu tidak sehaluan, jadi kami terpaksa memilih jalan berbeza.

"Kami berdua sepakat untuk keluar," kata Peng Soon.





Walaupun berdepan laluan berliku dan menempuhi segala ketidaktentuan dalam karier, ia sama sekali tidak melemahkan semangat mereka.

Bahkan, ia menjadikan mereka lebih matang dalam aspek pengurusan.

"Banyak cabaran yang perlu kami hadapi. Misalnya melibatkan latihan dan tiket kapal terbang yang perlu diaturkan sendiri.

"Kami juga perlu tempah hotel dan kebiasaannya saya yang lebih cerewet dalam hal pemilihan penginapan kerana saya seorang sahaja pemain wanita profesional berbanding Peng Soon yang selalunya mempunyai rakan-rakan lain. Mereka mungkin boleh berkongsi bilik tetapi saya pula perlu pertimbangkan mengenai soal keselamatan.

"Kami juga perlu berkira-kira dalam soal peruntukan bagi mendapatkan khidmat jurulatih.

"Itulah yang kami perlu fikirkan selepas beralih sebagai pemain profesional," kata Liu Ying.

Tambahnya: "Kami kerap berlatih bersama beregu profesional lelaki negara, Goh V Shem -Tan Wee Kiong.

"Sudah tentu corak permainan tidak sama. Kalau membabitkan pemain wanita, mungkin aksi lebih lembut , lelaki sebaliknya lebih pantas dan pukulannya kuat.

"Ia juga membantu saya dalam hal itu.

"Tetapi dalam pertarungan kompetitif, rentak itu tidak sama. Biasanya saya perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam pusingan pertama kejohanan."

Menurut Peng Soon pula: "Sebelum ini kami tidak tahu apa-apa mengenai tempahan tiket kapal terbang mahupun hotel, sekarang sudah mahir.

"Kami perlu berdikari mencari penaja.

"Kadang-kala saya berasa mahu kembali ke BAM. Perasaan rindu itu mesti ada sebab kami dapat berlatih beramai-ramai, lagipun hubungan kami semua baik.

"Bagaimanapun, kami telah memilih jalan ini jadi tidak boleh berpatah balik ."

Namun, tiada apa yang mustahil.

Dalam usaha naib juara Kejohanan Seluruh England 2017 itu meniti laluan ke Sukan Olimpik Tokyo 2021, BAM memberikan perkhabaran gembira buat mereka.

"Sangat teruja kerana ia tidak pernah terlintas di fikiran saya (untuk kembali berlatih di Bukit Kiara).

"Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mengirim pesanan kepada saya supaya tengok kenyataan rasmi mereka.

"Bagi saya, sebaik keluar BAM, adalah mustahil untuk masuk ke sana lagi.

"Jadi kami sangat gembira. Saya ingin berterima kasih kepada Norza," kata Peng Soon.

"Apabila Peng Soon menyuruh saya baca kenyataan BAM itu, saya sendiri tidak percaya, 'betul ke?'.

"Buat masa ini saya belum ada perancangan yang jelas mengenai karier. Cuma saya gusar mengenai kecederaan," tambah Liu Ying.