Peluang pemain belajar perkara baru

By Shaiful Shamsudin 18 May 2020 107
Peluang pemain belajar perkara baru
Meskipun terkesan dengan perubahan drastik dalam kem pemain beregu lelaki dan wanita Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun tonggak negara mengetepikan sentimen peribadi demi keperluan keluar daripada belenggu prestasi.

Pemain beregu utama lelaki negara, Aaron Chia, yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik mengakui perasaannya bercampur baur mengenai perkembangan terbaru itu. 

"Teruja dan sedih. Bukan saya tidak suka (dengan keputusan BAM). 

"(Sebagai pemain) saya tahu keadaan akan sentiasa seperti ini -- pertukaran jurulatih.

"Mungkin langkah ini bagus untuk kami, barangkali saya berpeluang untuk belajar perkara baru," katanya ketika diwawancara wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani, hari ini.




Dalam masa sama, pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo, berpandangan pertukaran jurulatih adalah lumrah dengan berkata: "Sebagai pemain saya pernah beberapa kali tukar jurulatih. 

"Saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jurulatih baru. Apa yang positif ialah setiap jurulatih mempunyai kelebihan masing-masing."

Sementara itu, Lee Zii Jia teruja untuk menyerap ilmu daripada Datuk Tey Seu Bock yang merupakan antara mentor Datuk Lee Chong Wei. 

"Saya tidak pernah berlatih di bawah kendalian Seu Bock namun pernah berbincang dengannya mengenai strategi ketika di luar gelanggang. 

"Saya tidak sabar-sabar untuk berlatih di bawahnya dan bekerjasama dengannya.

"Dia dan Hendrawan pernah 'pegang' Datuk Lee Chong Wei, justeru saya harap dapat belajar sesuatu yang istimewa daripada mereka, lagipun mereka sudah lama dalam kancah perseorangan lelaki," katanya. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment