Majlis Sukan Negara (MSN) merancang mewujudkan suasana lebih meriah di semua venue latihan, bermula hujung minggu ini bagi meningkatkan tahap psikologi atlet yang menyertai program latihan berpusat sejak dua minggu lalu.

MSN bakal mencatat sejarah mewujudkan perkampungan sukan tanpa negara bertanding. Ia hanya akan disertai atlet negara dengan tujuan meningkatkan tahap psikologi memandangkan majoriti daripada mereka hanya berlatih tanpa sebarang kejohanan sejak Mac lalu.

"Akan ada gerai makan, makanan daripada luar, beberapa aktiviti rekreasi seperti acara malam minggu, program kebiasaan orang muda seperti e-sukan dan wayang gambar.,

"Ini tidak dirancang dan jurulatih telah diberi peranan untuk memaklumkan kepada atlet masing-masing," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, kepada wakil Astro Arena, Bazly Azmi, di Bukit Jalil hari ini.

Puluhan kejohanan tempatan dan antarabangsa turut dibatalkan ekoran COVID-19.

Sehubungan itu, ia pasti menjejaskan psikologi atlet apatah lagi mereka tidak dibenarkan meninggalkan venue latihan di seluruh negara sepanjang program latihan berpusat.

"Kami akan tambahan peralatan sukan-sukan lain seperti ping-pong, damak, karaoke untuk membolehkan atlet menjalani selain badminton," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, di Bukit Kiara, hari ini.

Jurulatih pelapis memanah negara, Wan Mohd Khalmizan Wan Abd Aziz, menyambut baik langkah itu sebagai langkah mengurangkan tekanan memandangkan pergerakan atlet adalah terhad.

"Ia peluang untuk untuk memantapkan hubungan dalam kalangan atlet dan jururulatih.

"Ia satu langkah yang bagus untuk atlet muda tetapi yang senior agak tertekan sebab mempunyai keluarga sendiri," katanya.