Dua pasangan beregu campuran negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Masters Sepanyol di Barcelona dengan menewaskan lawan masing-masing, awal pagi tadi.

Tampil sebagai pilihan pertama, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, mara ke pusingan kedua apabila dengan mudah menundukkan beregu gandingan dua negara Israel/Belarus, Misha Zilberman-Katsiaryna Zablotskaya 21-12, 21-11 dalam masa hanya 24 minit dalam perlawanan yang diadakan di Pusat Sukan Olimpik Vall d’Hebron, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Rakan sepasukan mereka yang juga pilihan kedua, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum mengalahkan pasangan dari Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova 18-21, 21-17, 21-19 dalam satu lagi pusingan pertama.

Pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren, juga mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan HS Prannoy dari India 21-18, 21-15.

Kejohanan Super 300 Jelajah Dunia BWF itu menawarkan hadiah keseluruhan US$170,000 (RM706,199).

-- BERNAMA