Bekas jaguh badminton negara, Tan Aik Mong, meninggal dunia dipercayai akibat kanser hati di Pusat Perubatan Subang Jaya, Petaling Jaya pada jam 3.30 petang tadi.

Mendiang berusia 70 tahun.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi berkata badan itu amat berdukacita dengan pemergian Aik Mong, yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia badminton negara semasa era kegemilangannya pada tahun 1960-an dan 1970-an.

“BAM ingin menzahirkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mendiang Tan Aik Mong di atas pemergian seorang insan yang begitu banyak menyumbang kepada BAM dan sukan badminton Malaysia. Mendiang akan begitu dirindui oleh peminat dan penggiat sukan badminton.

"Ingatan semua di BAM adalah bersama keluarga, rakan dan orang tersayang Aik Mong pada masa yang sukar ini," katanya.

Aik Mong, adik lelaki kepada seorang lagi jaguh badminton Malaysia, Tan Aik Huang, merupakan juara Kejohanan All England dalam acara perseorangan lelaki pada 1966 selain mewakili negara dari tahun 1966 hingga 1975.

Mendiang turut membantu Malaysia meraih gelaran naib juara Piala Thomas 1970 di Kuala Lumpur selain merangkul dua pingat perak dalam Sukan SEAP 1973 (kini dikenali sebagai Sukan SEA) di Singapura.

Pencapaian terbesar mendiang Aik Mong ialah merangkul pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dalam Kejohanan Badminton Asia 1971 di Jakarta.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut memegang pelbagai jawatan dalam BAM termasuk pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat badan itu pada 2013.

-- BERNAMA