Meskipun tewas di pentas separuh akhir saingan Seluruh England 2020, perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, menegaskan dia tidak kecewa, malah berpuas hati dengan pencapaian yang diraih.

Semalam, pemain berusia 21 tahun itu hampir melakar sejarah apabila memenangi set pertama 21-17 mengatasi Victor Axelsen tetapi kebangkitan lawan dari Denmark menyebabkan dia tersungkur 21-13, 21-19 dalam set seterusnya.

Bagaimanapun, anak jati Kedah itu menyifatkan kekalahan itu sebagai satu pencapaian yang membanggakan, apatah lagi saingan kali ini merupakan penampilan pertamanya di pentas Seluruh England.

"Tahun lalu, saya ke sana tetapi tidak dapat bermain. Ketika itu, saya berjanji akan berikan yang terbaik jika meraih peluang beraksi dalam edisi seterusnya. Kini, ia macam mimpi. Daripada pusingan pertama hingga separuh akhir, ia bagai mimpi. Saya tidak sangka dapat mencatat keputusan yang saya fikir bagus. Saingan ini memberikan makna besar buat saya," katanya.

Bagi pemenang edisi 2003, Hafiz Hashim, dia melihat peluang yang cerah untuk Zii Jia kembali mencabar status juara Seluruh England dalam saingan akan datang.

Namun, abang kepada Hafiz, Roslin, mahu pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu kekal fokus untuk memastikan diri di landasan terbaik menjadi jaguh elit Malaysia.

"Nasib tidak menyebelahi Zii Jia tetapi bagi saya, ini satu platform terbaik untuk dia. Insya-Allah, dia boleh cuba lagi tahun depan kerana masih muda. Diharapkan kekalahan semalam akan dijadikan satu pengalaman untuknya," kata Hafiz.

"Sebelum ini, memang nampak tidak konsisten. Namun, keyakinannya meningkat apabila ke separuh akhir. Itu yang saya harapkan, agar dia kekalkan momentum," tambah Roslin.