Soniia Cheah percaya pentas Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusnya digunakannya sebaik mungkin untuk menguji sentuhan berbeza selepas badan induk negara itu melantik Indra Widjaja untuk mengemudi kem perseorangan wanita negara.

Begitupun, Soniia memerlukan sedikit masa untuk serasi dengan rentak itu selepas bergelut sebelum menundukkan Eoon Qi Xuan di peringkat kumpulan hari ini.

Dia memerlukan kebangkitan dan pertarungan yang berlanjutan hampir sejam sebelum mencapai kemenangan 19-21, 21- 10, 21-17 ke atas bekas penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berusia 19 tahun itu.

"Secara jujurnya, Qi Xuan beraksi dengan sangat baik dan memberi kesukaran kepada saya.

"Ia cabaran buat saya dalam usaha mengetengahkan strategi terbaru di bawah bimbingan jurulatih terkini.

"Jurulatih memberi pendekatan baru jadi saya perlu mencubanya dalam kejohanan ini," katanya sejurus perlawanan itu.

Finalis Sukan SEA 2017 itu akan mengharungi perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Lee Ying Ying, esok.


Sementara itu, beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, bermandi peluh sebelum menundukkan gandingan meningkat naik, Pearly Tan-M. Thinaah.

Mei Kuan-Meng Yean tiada masalah untuk menjinakkan lawan mereka apabila mudah menawan set pertama 21-10.

Namun, cerita sebaliknya dalam set kedua yang menyaksikan seteru muda mereka itu bangkit melawan dan mengheret pertarungan ke set penentuan apabila menang 21-19.

Tetapi Mei Kuan-Meng Yean mengambil kesempatan ke atas kesilapan lawan untuk menang 21-14.