Juara saingan Divisyen 2, Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Leong Jun Hao, bertekad untuk memberikan tentangan sengit kepada barisan pemain senior menjelang saingan Divisyen 1 minggu depan.

Bekas juara remaja dunia itu menewaskan rakan sepasukan, Lim Chong King, 21-19, 21-16 dalam tempoh 34 minit untuk muncul juara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

"Sasaran peribadi saya adalah untuk menamatkan saingan Divisyen 1 dalam kelompok empat teratas.

"Kami semua adalah rakan sepasukan, jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk memberikan saingan kepada mereka," katanya.

Selaku naib juara, Chong King pula mengakui bahawa saingan Divisyen 1 akan lebih mencabar dan mungkin sukar untuknya melakarkan sebarang kemenangan apabila berdepan pemain yang lebih senior.

"Saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan kerana mereka semua adalah senior saya, jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk memberikan mereka saingan sengit.

"Saya hanya mahu meraih seberapa banyak kemenangan yang saya boleh," katanya.