Beregu lelaki profesional dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mencetuskan kejutan terbesar dalam Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila dijinakkan beregu pelapis negara, Chang Yee Jun-Chia Wei Jie, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, petang tadi.

Perlawanan didominasi V Shem-Wee Kiong yang menjadi pilihan utama dalam Kumpulan B.

Di sebalik tentangan lawan, mereka masih tenang melakar kemenangan 21-16 dalam set pertama.

Tetapi dalam set kedua, Yee Jun-Wei Jie, yang masing-masing berusia 20 tahun, menunjukkan peningkatan dalam kawalan gelanggang, di tambah pula kesilapan lawan mereka bagi memudahkan kutipan mata Yee Jun-Wei Jie.

Akhirnya pertarungan diheret ke set penentuan selepas Yee Jun-Wei Jie menang 21-12.

Ia secara tidak langsung meningkatkan saingan sengit dalam set ketiga.

Tetapi pada satu ketika, V Shem-Wee Kiong kembali menonjol untuk mendahului 19-13 tetapi seteru mereka itu berjaya bangkit dan mengheret permainan ke deuce.

Selepas berhempas pulas, Yee Jun-Wei Jie berjaya mengukir kemenangan 23-21.

V Shem-Wee Kiong akan beraksi lagi malam ini untuk berdepan Chen Tang Jie-Nurfirdaus Azman.