Pilihan utama beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menepati ramalan apabila meraih kemenangan ketiga berturut turut Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Bertemu Ching Kai Feng -Lwi Sheng Hao dalam aksi Kumpulan A hari ini, beregu ranking di ranking kesembilan dunia itu mudah menang set pertama 21-9.

Ada tentangan yang cuba diberikan Kai Feng-Lwi Sheng Hao dalam set kedua, tetapi pengalaman menjadi pemisah untuk Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan 21-16.

Cabaran sebenar mereka bermula esok apabila dijadualkan bertemu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

"Ia sememangnya cabaran buat kami kerana pernah banyak kali melawan mereka di peringkat kejohanan antarabangsa.

"Ia bukan satu pertemuan yang mudah," kata Aaron.

Tambah gandingannya, Wooi Yik pula: "Tahap fizikal kami lebih tinggi daripada mereka.

"Mungkin dari situ kami boleh menandingi mereka."

Dalam masa sama, selepas mencatat kemenangan dalam sesi pagi, Yew Sin-Ee Yi mengekalkan momentum sama apabila meraih kemenangan ke atas Kai Feng-Sheng Hao sebentar tadi.

Beregu pilihan itu tiada masalah untuk menang 21-19 dan meneruskan momentum sama dalam set kedua untuk kejayaan 21-15.