Pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng, mahu prestasinya bersama Lai Pei Jing dapat ditingkatkan lagi dalam persediaan menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, bulan depan.

Awal tahun ini, Kian Meng dan Pei Jing lebih banyak memberi tumpuan terhadap persiapan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur yang bermula 36 hari lagi.

Ini kerana pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, berada dalam senarai awal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk ke Kejohanan Dunia.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami Liu Ying menyaksikan Kian Meng-Pei Jing mendapat lampu hijau bagi mengibarkan cabaran negara di Glasgow.

Saingan Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS), 19 Julai ini, menjadi kejohanan terakhir yang disertai mereka dan Kian Meng ingin memastikan segala kelemahan dapat diatasi.

"Saya sedikit terkejut sebab pada awalnya kami membuat persiapan untuk bermain dalam Sukan SEA tetapi dapat menyertai Kejohanan Dunia.

"Oleh itu, saya menjadi lebih teruja.

"Sebelum ke Kejohanan Dunia, kami akan bersaing dalam Terbuka AS.

"Selepas itu, kami mempunyai dua minggu sebelum beraksi dalam Kejohanan Dunia dan akan berbincang dengan jurulatih untuk melonjakkan lagi prestasi kami," katanya.

Sejak digandingkan bersama pada penghujung 2015, Kian Meng-Pei Jing mempamerkan peningkatan yang cukup konsisten untuk mencabar kedudukan Peng Soon-Liu Ying selaku beregu campuran nombor satu negara.

Berdasarkan situasi semasa, mereka menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan perlu bersedia untuk menyerap segala tekanan.

"Tekanan tetap ada, cuma kami perlu hadapinya sahaja.

"Gandingan kami baru sahaja dibentuk kira-kira setahun lebih, malah tahap saingan ketika ini bukannya mudah."