Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ingin memastikan program latihan buat Leong Jun Hao diatur dengan lebih rapi agar dia mampu meneruskan kesinambungan apabila bergelar pemain senior nanti.

Kejayaan Jun Hao bergelar juara remaja Asia semalam mengulangi pencapaian yang dilakukan oleh Soo Teck Zhi empat tahun lalu di Kota Kinabalu.

Begitupun, sejak itu Teck Zhi masih belum dapat menyerlahkan kemampuannya untuk bersaing di peringkat senior.

Lantaran itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mahu memastikan perkembangan pemain berusia 18 tahun itu dan juga pemain remaja lain dapat digilap dengan sebaik mungkin.

"Jun Hao perlu mendapatkan perhatian secepat mungkin, saya akan membincangkan perkara ini dengan ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek.

"Jun Hao berpotensi untuk diserapkan dalam Program Podium di masa akan datang." katanya.

Jun Hao muncul juara Kejohanan Badminton Remaja Asia selepas menewaskan Bai Yupeng dari China 21-6, 20-22, 21-17 dalam perlawanan akhir acara perseorangan lelaki di Jakarta, semalam.

Dalam pada itu, Norza turut berpuas hati dengan pencapaian skuad remaja negara dalam kejohanan itu.

Selain kejayaan Jun Hao meraih pingat emas, Malaysia turut memperoleh tiga gangsa menerusi perseorangan perempuan, beregu lelaki serta saingan berpasukan.

"Program remaja skuad badminton mula membuahkan hasil, bermula dalam saingan Kejohanan Badminton Remaja ASEAN di Singapura, kemudian disusuli dengan kejayaan di Indonesia. Ia merupakan satu peningkatan yang menakjubkan."