'Barisan pemain seperti pulang ke kampung selepas setahun tiada kejohanan di Eropah', itu perkongsian Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, tentang keadaan terkini kem kebangsaan setelah tiba di Switzerland semalam.

Choong Hann juga mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah terhadap setiap lawan meskipun mempunyai kelebihan selaku pemain pilihan.

Skuad badminton negara bakal memulakan aksi kelayakan Sukan Olimpik pertama dalam Terbuka Swiss esok dengan kebanyakan wakil negara mempunyai laluan yang cerah.

Antaranya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi pilihan pertama kejohanan dalam acara beregu lelaki, Lee Zii Jia pula pilihan kedua bagi perseorangan lelaki.

Bagaimanapun, Choong Hann, berharap kelebihan itu tidak menjadikan barisan pemain terlalu yakin.

"Ia lebih kepada pemain menyesuaikan ciri-ciri gelanggang pertandingan. Kami akan pergerakan angin serta pencahayaan lampu di sana," kata Choong Hann.

"Jika pemain-pemain dapat menyesuaikan diri, keputusan positif dapat dihasilkan dan ia akan bergantung kepada perlawanan pembukaan nanti."