Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, bertekad membuktikan bahawa dia serta gandingannya, Goh Liu Ying, merupakan pasangan nombor satu negara dengan merampas pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Status beregu campuran utama negara kini disandang Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie. Ia berdasarkan ranking dunia yang menyaksikan Peng Soon-Liu Ying pula bergelar beregu ketiga terbaik di belakang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Bagaimanapun, Peng Soon sedar dalam masa sama, dia perlu memikirkan bagaimana untuk membantu skuad berpasukan campuran Malaysia terlebih dahulu.

"Yang penting, kami fokus kepada acara berpasukan terlebih dahulu, bekerja keras bersama-sama untuk mempersiapkan diri," kata Peng Soon.

Peng Soon-Liu Ying tampak akan diturunkan dalam saingan berpasukan campuran menentang Ghana, Khamis ini.

Ia susulan Soon Huat dijangka menggalas tugas dalam acara perseorangan sebagai strategi merehatkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam aksi pertama.

"Kami memang sudah sedia tetapi tidak pasti lagi sama ada saya dan Goh Li Ying atau Goh Soon Huat-Shevon Lai yang akan beraksi," tambahnya.