Setanding atau lebih hebat daripada Rexy Mainaky, itu adalah mandat yang dipikul ketua jurulatih beregu lelaki baru negara, Flandy Limpele, apabila semakin hampir menjejakkan kaki ke Malaysia.

Rexy akan sentiasa dikenang sebagai import dari negara jiran itu yang berjaya memartabatkan beregu lelaki Malaysia menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Mahu atau tidak, apa sahaja yang dilakukan Flandy akan dibandingkan dengan pencapaian Rexy.

Menurut Ketua Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, ia sesuatu yang biasa buat mana-mana jurulatih sekalipun dibandingkan dengan sosok sebelumnya.

Jurulatih dari Indonesia itu hari ini menawarkan jawapan kepada persoalan mengapa begitu lama dia mengambil masa untuk melaporkan diri bersama Persatuan Badminton Makaysia (BAM) ketika ditemu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.





"Ia satu cabaran buat kami untuk mencapai setidak-tidaknya meraih pencapaian yang sama malah yang lebih baik lagi."

Bagi tuan badan sendiri, ia sedikit pun menggugat tekadnya untuk melonjakkan prestasi skuad beregu negara di sebalik tanggapan yang bakal dihadapinya.

"Setiap jurulatih mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

"Pendekatannya berbeza tetapi tujuannya tetap sama, iaitu membangunkan pemain dan menjadikan mereka sebagai juara.," katanya yang masih berada di Indonesia.

Beliau, yang pernah mewakili negaranya dalam empat edisi Sukan Olimpik, bagaimanapun mengakui belum berkesempatan melalui proses suai kenal dengan anak buahnya.

"Saya cuma lihat aksi mereka (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) menerusi rakaman sahaja.

"Mereka sudah bagus cuma belum maksima. Prestasi mereka belum sampai puncak dan tekal, ada masa menang dan kalah," tambahnya.

Mengenai situasi di Indonesia berikutan penularan wabak COVID-19, Flandy berharap segala urusan untuk memasuki negara ini akan berjalan lancar.

"Semuanya semakin baik.

"Saya sedang tunggu kelulusan kedutaan Malaysia dan kalau tiada halangan, minggu depan saya akan sampai ke Malaysia."