Waspada dengan ancaman wabak koronavirus baru (Covid-19) memaksa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menunda kejohanan beprestij, Piala Thomas dan Uber, yang sepatutnya berlangsung dua bulan dari sekarang kepada 15 Ogos depan.

Keputusan itu dibuat setelah BWF berbincang dengan tuan rumah, Denmark, mengenai situasi semasa di Eropah yang dikhuatiri tidak dapat melangsungkan kejohanan mengikut tarikh sebenar, iaitu dari 16 hingga 24 Mei.

Apatah lagi, undian melibatkan dua saingan itu setakat ini , sepatutnya diadakan pada 18 Mac lalu, masih tidak dapat dijalankan.

Setelah mengambil kira semua aspek, BWF mengumumkan kejohanan tersebut dianjak sejurus tamat Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penundaan tarikh kejohanan itu mendapat reaksi positif daripada beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Teo Ee Yi.

Biarpun peluang ke Jepun semakin tipis, pemain di ranking ke-15 dunia tersebut memasang impian untuk memburu kejayaan setaraf Sukan Olimpik selain tiada masalah dengan penjadualan semula itu demi keselamatan mereka.

"Wabak yang melanda (dunia) ketika ini begitu teruk jadi lebih baik tunda (kejohanan).

"Tunggu sehingga wabak ini diatasi dulu supaya pemain tidak dilanda kegusaran dan boleh berikan fokus sepenuhnya.

"Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah pilihan lebih baik tetapi dua beregu utama negara lebih berpeluang.

"Jika berpeluang beraksi dalam Piala Thomas, saya berikrar untuk berikan aksi terbaik," katanya ketika dihubungi.

Pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aaron, pula menganggap penundaan Piala Thomas selepas tarikh Sukan Olimpik menjadi kelebihan buat mereka untuk mengekalkan momentum dan prestasi selepas bekerja keras untuk layak ke temasya berkenaan.

Situasi itu juga mungkin memberi kelegaaan, namun dalam masa sama memaksa barisan pemain untuk mengharungi dua saingan utama dalam waktu yang singkat.

"Saya tidak rasa penganjuran Piala Thomas selepas Sukan Olimpik akan membawa kesan besar.

"Ada baiknya juga sebab momentum pemain masih ada," katanya.

Tiada perubahan daripada segi venue dengan Denmark mengekalkan Arena Ceres di Aarhus sebagai lokasi pertandingan.