Sejak penundaan Kejohanan Piala Thomas dan Uber 2020, kebanyakan pemain-pemain badminton negara memilih untuk beralih fokus kepada kejohanan Jelajah Asia di Thailand November ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, tidak menafikan bahawa terdapat kemungkinan tiada kejohanan antarabangsa bagi tahun 2020 berdasarkan situasi terkini.

"Kami kini sedang menunggu mana-mana negara akan bakal menganjurkan saingan serta menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terbaik bagi setiap pihak," kata Choong Hann.

Itu pendapat Choong Hann mengenai kemungkinan yang bakal berlaku berdasarkan situasi terkini di mana beberapa pemain telahpun memilih untuk menarik diri daripada Terbuka Denmark.

Bagaimanapun, Choong Hann tetap optimis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sedang mengusahakan cara terbaik untuk mengadakan kejohanan ketika waktu yang sukar ini.

BWF sepatutnya mengadakan mesyuarat mengenai Kejohanan Jelajah Asia di Thailand, bagaimanapun mesyuarat tersebut telahpun ditunda.

"Seperti yang sedia maklum, masih tiada kepastian penganjuran Jelajah Asia. Buat masa ini, kami memantau perkembangan ini."