Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, semalam mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada semua masyarakat Sabah dan Sarawak.

Menerusi hantaran dalam Facebooknya, Chong Wei turut berkongsi pengalamannya melawat perkampungan budaya di Kota Kinabalu sempena Pesta Kaamatan dan memuji semangat perpaduan masyarakat di sana.

"Penghujung Mei salah satu waktu yang sentiasa menjadi kegemaran saya. Saya pernah melawat perkampungan budaya di Kota Kinabalu sewaktu Kaamatan, memang menyeronokkan.

"Orang ramai semua menyambutnya dengan gembira, (ada) gerai-gerai, BBQ, menyanyi, menari, persembahan budaya, permainan dan Unduk Ngadau!," katanya.

Chong Wei berkata, dia juga kagum kerana perayaan itu bukan saja disambut pelbagai lapisan masyarakat, malah dapat duduk semeja walaupun berbeza kaum dan agama.

"Bahagian paling menarik (sempena Kaamatan) ialah semua orang berkongsi meja! Berbilang kaum dan agama semuanya datang menyambut pesta menuai itu, ia sangat indah, saling menghormati budaya masing-masing, ia kali pertama saya berasakan 1Malaysia wujud," katanya.

Pesta Kaamatan atau pesta menuai adalah perayaan yang disambut penduduk Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun manakala Hari Gawai disambut masyarakat Sarawak pada 1 Jun.

Pada penghujung kirimannya, Chong Wei turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dalam bahasa Dusun serta salah satu bahasa suku kaum di Sarawak.

Dia turut menyelitkan nasihat agar orang ramai terus berwaspada dengan wabak Covid-19 serta menjaga penjarakan sosial.