'Usah risau Malaysia, tangan saya akan sentiasa berada di bahu Lee Zii Jia', itulah yang diibaratkan terhebat sepanjang zaman negara, Datuk Lee Chong Wei apabila menegaskan komitmen untuk membimbing Zii Jia mengharungi pelbagai cabaran di luar gelanggang.

Antara kemampuan luar biasa Chong Wei sewaktu di kemuncak kerjaya adalah menangani kemahsyuran dan limpahan kewangan.

Dua elemen yang mula mendekatkan diri dengan Zii Jia susulan kejayaan menawan Seluruh England.

Meskipun tidak risau dengan kemampuan Zii Jia menangani tumpuan sebagai nombor 1 Malaysia, Chong Wei akan sentiasa ada disampingnya.

"Saya akan berkongsi bersama Zii Jia bagaimana menguruskan setiap aspek bagi memastikan dia kekal di tahap terbaik. Terdapat perkara boleh diterima Zii Jia dan ada juga tidak kerana dia memiliki pendekatan tersendiri," kata Chong Wei.

Chong Wei yang juga chef de mission (CDM) Olimpik Tokyo negara turut berasakan waktu sebenar Zii Jia untuk diletakkan sebagai prospek pingat emas adalah dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Tetapi lebih baik jika dia mula langkah kanan di Tokyo.

"Saya berasakan tahun ini penting bersaing dalam Sukan Olimpik. Kami meletakkan sasaran buat Zii Jia cemerlang dalam Sukan Olimpik Paris 2024 namun jika dia mampu berjaya di Tokyo, mengapa tidak bukan?"

Sementara Zii Jia yang menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk Chong Wei juga tidak perlu risau dengan keperluan menguruskan kewangan.

Habuan yang diterima Zii Jia sejak bulan Januari daripada hadiah kemenangan dan insentif mencecah hampir RM350,000.

Ini kerana setiap sen daripada habuan tersebut diserahkan kepada ibu dan bapanya, Leow Siet Peng serta Lee Chee Hin sementara dia hanya fokus kepada keperluan dalam gelanggang.