Tanggal 4 Julai adalah detik sedih dalam diari badminton dunia.

Selaku individu yang mempunyai karakter dan aura tersendiri ketika di gelanggang, Lin Dan, mengumumkan perjalanan kariernya sudah sampai ke titik noktahnya.

Dalam tempoh 20 tahun berbakti kepada negaranya, China, sudah tidak terhitung berapa kalikah lagu kebangsaan China berkumandang.

Hari ini, pada usia 36 tahun, Lin Dan bersara daripada arena badminton.

We knew this day would arrive, Heavy moment of our lives; You pulled down the curtain gracefully, You were king where...

Posted by Lee Chong Wei 李宗伟 on Saturday, July 4, 2020


"Kita tahu hari ini akan tiba, momen berat dalam hidup kita, anda melabuhkan tirai dengan bergaya." Itu bait-bait kata istimewa yang dititipkan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, kepada jagoan Temboh Besar itu dan di laman sosial peribadinya hari ini.

Di pentas antarabangsa, Lin Dan dan Chong Wei dianggap sebagai seteru utama dan sering dilabel sebagai musuh tradisi lebih sedekad yang lalu.

Biarpun sering 'bermusuhan' setiap kali dipertemukan dalam mana-mana kejohanan, kedua-dua jagoan dunia itu cukup akrab apabila berada di luar gelanggang.

Persaraan juara dunia lima kali itu juga dianggap cukup signifikan selepas detik itu hadir setahun selepas Chong Wei menggantung raket pada Jun tahun lalu.

"Bagi saya dia memang pemain terbaik sepanjang zaman dalam acara perseorangan lelaki.

"Dari dulu sampai sekarang, pencapaian yang diraihnya tiada siapa yang boleh tandingi.

"Saya pernah berdepannya sebanyak tiga kali, ia sesuatu yang tidak akan saya lupakan," kata pemain profesional negara, Liew Daren.

"Daripada segi permainan, dia seorang pemain yang menyeluruh (lengkap).

"Dia boleh tiba-tiba bermain secara rali, menyerang dan bertahan.

"Dia tidak begitu menampakkan serangan psikologi menerusi riaknya sebaliknya seorang pemain yang sangat profesional di atas gelanggang," kata bekas pemain negara, Sairul Amar Ayub.