Kem badminton negara buat gempar apabila menganjurkan kejohanan dalaman berpasukan campuran lebih awal.

Pertempuran membabitkan hampir 150 pemain dalam program kebangsaan itu menampilkan beberapa elemen unik termasuk pasukan bertemakan 'superhero'.

Saingan yang julung kali dianjurkan itu menampilkan empat pasukan diketuai terbaik Malaysia.

Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia memimpin skuad 'Terminators' yang bertembung dengan 'Dominators' yang bersandar kepada beregu lelaki utama negara, Aaron Chia.

Sementara pasukan 'Transformers' pula diketuai tonggak beregu campuran, Tan Kian Meng, berentap menentang 'Avengers' dengan gandingan Aaron, Soh Wooi Yik sebagai kapten.

Saingan tersebut menampilkan format mirip Piala Sudirman yang mempertandingkan setiap lima kategori dalam badminton.

Tetapi lebih istimewa ada saingan tiga lawan tiga sebagai dua aksi terakhir untuk menutup sebuah perlawanan.

Keputusan hari pertama menyaksikan Terminators menewaskan Dominators 7-4.

Sementara Avengers unggul dalam saingan sengit ke atas Transformers dengan keputusan 6-5.

"Pertandingan ini diadakan lebih awal kerana mahu memastikan para-para pemain yang bakal menamatkan kem latihan selepas ini tidak akan terjejas prestasi mereka selepas kembali ke sesi latihan pada masa akan datang," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

"Saya berasakan mereka telah menampilkan aksi yang cemerlang, pemain-pemain muda turut memberikan sokongan yang baik dan meningkatkan tekanan yang positif dalam kalangan setiap pemain."