Selepas hampir lima bulan tidak bersama skuad negara, pemain beregu lelaki negara, Ameer Zainuddin, optimis mampu bangkit daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang membuatkannya berputih mata daripada Kejohanan Remaja Dunia, tahun lalu.

Ameer mengalami kecederaan ACL di bahagian lutut kiri ketika beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia, November tahun lalu.

Hampir lima bulan tidak bersama skuad negara, Ameer sudah menunjukkan tanda-tanda positif dan dijangka mampu kembali beraksi tidak lama lagi.

Namun, dia tetap berwaspada dan tidak mahu mengikut perasaan agar kecederaan lamanya tidak berulang.

"Perkembangan saya agak baik selepas pulih daripada pembedahan. Tetapi saya enggan terburu-buru kembali kerana saya enggan kecederaan sama berulang," ujar Ammer.

Dia juga masih tidak pasti siapa rakan beregunya nanti memandangkan rakan beregunya sebelum ini, Hoo Pang Ron, kini sudah beralih ke bahagian beregu campuran, bergandingan dengan Peck Yen Wei.

Segala keputusan diserahkan sepenuhnya kepada pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menentukan apa yang terbaik buat dirinya.

"Insya-Allah jika diberi peluang, saya akan membuat yang terbaik.

"Pengarah Teknikal, Morten Frost, banyak memberi saya peluang. Jadi, jika saya kembali beraksi tahun hadapan, saya akan buktikan kemampuan saya," tambahnya.