Kesemua 21 pemain negara termasuk empat pemain profesional dan tujuh jurulatih yang pulang ke tanah air daripada Kejohanan Badminton All England di Birmingham baru-baru ini dilaporkan negatif Covid-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan hari ini berkata kesemua pemain negara akan terus mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan dan akan menjalani program latihan individu sebelum memulakan latihan bersama sebaik sahaja perintah tersebut ditarik balik.

“BAM akan terus berhubung rapat dengan badan berkaitan bagi memastikan langkah bertepatan dapat diambill,” menurut kenyataan itu.

Sebaik tiba dari Birmingham, kesemua pemain negara kecuali empat pemain profesional difahamkan menjalani kuarantin secara sukarela di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

-- BERNAMA