Pergi tiada ganti tapi jasa tetap di hati.

Itu lah perumpamaan paling mudah merujuk kepada kepimpinan era Datuk Seri Zolkples Embong bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Keluarga sukan negara hari ini menerima perkhabaran sedih apabila hilang seorang tokoh yang menabur banyak jasa sebelum menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun.

Keperibadian bekas ketua pengarah MSN itu masih segar di hati bekas atlet negara selama tujuh tahun khidmatnya dari April 2007 hingga Disember 2014.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya pagi tadi selepas hampir 40 tahun mengabdikan diri dalam sukan.

Turut berkongsi rasa sedih kehilangan Zolkples ialah ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Saya tidak akan lupakan (jasanya). Ketika tiada orang lain orang berdiri di belakang saya, dia selalu menghubungi saya, apa kesusahan dan berpesan, 'Chong Wei awak jangan berputus asa, cuba buat yang terbaik'," katanya.

Penerjun negara, Pandelela Rinong, antara atlet yang rapat dengannya menjelaskan sapaan mesra dan keperibadian Zolkples amat disenangi atlet.

"Saya sendiri mencapai dan menyaksikan pencapaian sukan (di bawah eranya). Sangat meriah dan saya sangat merindui zaman tersebut.

"Sejujurnya, siapa saya pada hari ini (adalah kerananya). Saya tidak akan lupakan jasanya," katanya.





Hubungan akrab Zolkples dengan atlet juga antara intipati yang menjulang sukan negara dan ia diakui pemenang dua pingat emas Kejohanan Dunia Tenpin Boling, Shalin Zulkifli.

"Dia ambil berat kebajikan atlet jadi kami rasa keprihatinan.

"Dalam Sukan Asia misalnya, dia banyak memberikan kami bagi banyak semangat, beri banyak perkara positif buat kami," katanya.

Ia tidak disangkal oleh juara dua kali Sukan Asia, R Puvaneswaran dan menurutnya: "Dengar muka mesra dan senyuman yang lebar, sentiasa datang kepada atlet dengan pesanan, 'buat sahaja yang terbaik, jangan gemuruh dan tertekan untuk memenangi pingat emas'.

"Itulah pesanan yang sering diberikan kepada atlet negara."