Susulan pengunduran persatuan negeri daripada menjadi sebahagian ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), ura-ura mengenai penubuhan entiti baru semakin bertiup kencang.

Sejak Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) memulakan gelombang pengunduran diri daripada PSM pada 9 Mei lalu, sebanyak sembilan persatuan negeri telah mengambil langkah sama, dengan yang terbaru diumumkan oleh Persatuan Sepaktakraw Perak (Persedar), Persatuan Sepaktakraw Sarawak (PSS), Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans).

Ia bermula apabila PSM 'digantung sementara' daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), sejak April lalu.

Malah, PSM turut berdepan kemungkinan disingkirkan daripada menjadi ahli gabungan badan induk Asia itu selepas didakwa melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti yang dimeterai pada 14 Mac 2008.

Kini PSM kehilangan hampir keseluruhan ahli gabungan, timbul ura-ura yang melibatkan penubuhan entiti baru yang dijangka menggantikan PSM.

Perkara itu tidak dihalang Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), namun apa yang pasti, PJS pada ketika ini masih mengiktiraf PSM sebagai badan induk sepak takraw negara.

"Kenyataan baru pihak PJS bagi membenarkan 10 persatuan yang keluar daripada PSM untuk berada dalam landasan terbaik bagi menubuhkan entiti baru," kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran.

"Saya berharap entiti baru ini dapat digunakan sebaik mungkin dengan meneliti pelbagai setiap aspek terutama dalam asas perlembagaan. Kepimpinan yang baik amat diperlukan bagi menguruskan entiti ini."