Persatuan Tenis Wanita (WTA) mengalu-alukan gambar yang menunjukkan pemain tenis China, Peng Shuai, dalam satu panggilan video dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, tetapi mengatakan ia tidak mengurangkan kebimbangan tentang kesejahteraannya.

Pemain berusia 35 tahun itu secara meluas dianggap telah hilang sejak membuat dakwaan serangan seksual terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Jawatankuasa Tetap Parti Komunis China, Politbiro, iaitu Zhang Gaol lebih tiga minggu lalu.

Menurut IOC, Peng berkata dia dalam keadaan selamat dan sihat menerusi perbualan dengan Bach.

IOC berkata dalam satu kenyataan bahawa Peng telah bercakap dengan presiden itu selama 30 minit.

"Dia menjelaskan bahawa dia selamat dan sihat, tinggal di rumahnya di Beijing tetapi pada masa ini ingin kehidupan peribadinya dihormati," menurut kenyataan itu.

"Dia lebih suka menghabiskan masanya bersama rakan dan keluarganya pada masa ini. Namun, dia akan terus terlibat dalam tenis, sukan yang sangat cintainya."

Sebagai tindak balas, jurucakap WTA berkata: "Senang melihat Peng Shuai dalam video baru-baru ini tetapi ia tidak mengurangkan atau menangani kebimbangan WTA tentang kesejahteraan dan keupayaannya untuk berkomunikasi tanpa penapisan atau paksaan.

"Video ini tidak mengubah gesaan kami agar siasatan penuh diadakan secara adil dan telus, tanpa penapisan terhadap dakwaan serangan seksual yang dibuatnya, ia merupakan isu yang menimbulkan kebimbangan awal kami."

Walaupun rakaman yang dikeluarkan oleh media Kerajaan China pada hujung minggu lalu yang menunjukkan kononnya pemain itu berada di sebuah restoran bersama rakan-rakannya, diikuti dengan imejnya dalam satu kejohanan remaja Ahad lalu, kebimbangan mengenai keselamatannya terus dibangkitkan.

Serena Williams, Naomi Osaka dan Novak Djokovic antara mereka yang mempersoalkan keberadaan Peng.