Tindakan Naib Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Datuk Seri Zolkples Embong, yang menekankan kelulusan terhadap Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk berwajah baru seolah-olah melangkaui keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Putrajaya, (PESTAP), Datuk Seri Khairudin Samad, selaku wakil Gabungan Sepak Takraw Malaysia (GSM) yang juga dikenali G11 kemudian menjelaskan perincian terhadap perlembagaan badan induk itu dan ia secara tidak langsung mendorong mereka untuk memperuntukkan lebih masa.

"Kami sudah betulkan perlembagaan yang ada sebab sebelum ini caca marba. Kami tunggu masa untuk ia dibentangkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan, semua (wakil) negeri juga sedang menunggu.

"Jadi tidak patut Datuk Seri Zolkples Embong berkata sebegitu. GSM sudah tidak ada lagi, tidak patut wujud cerita GSM lagi.

"Apabila mahu membetulkan perlembagaan, kami perlu melihat kepada satu persatu frasa supaya ia tidak menjadi masalah lagi pada masa akan datang.

"Tarikh EGM ini perlu dirunding dengan PJS dan PSM, kalau boleh esok pun saya sedia.

"Sebenarnya hanya PJS yang boleh panggil untuk EGM sebab PSM sudah lama bubar," katanya di Nadi Arena.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran, juga sedia memberi kerjasama demi agenda sepak takraw negara dapat diperkasakan.

"Oleh kerana kami ingin arah PSM yang lebih teratur. Oleh sebab kami akur dengan sejarah dan legasi PSM selama ini, jadi kami lupakan perkara lama," katanya.